BULU OH BULU

Ahad, 29 Julai 2012

Assalamualaikum saudara saudari sekalian.

Bulu, amat sinonim dengan manusia dan binatang. Tetapi, apa yang ingin kita bincangkan pada hari ini adalah berkaitan dengan bulu di badan manusia. Sungguhpun pada sesetengah pihak, bulu memainkan peranan yang teramat penting dalam kehidupan seharian mereka. Ini tidak dinafikan, terutamanya kepada golongan lelaki, yang berpendapat bahawa mereka lebih 'kacak' jika badan mereka berbulu di sebahagian tempat, mahupun keseluruhan badan mereka. Tetapi, harus diingat, bahawa bulu di badan tidak semestinya memberi kesan positif kepada anda. Ada juga kesan negatif yang akan anda dapat apabila anda mempunyai bulu yang 'lebat'. Jangan risau, post ini ditulis secara bertapis, dan boleh dibaca oleh semua, kerana post ini mempunyai ilmu yang memberikan input positif kepada pembaca.



Bulu amat penting dalam kehidupan sebagai seorang lelaki. Tidak sah seorang lelaki jika tidak mempunyai bulu di bahagian-bahagian yang penting, yang dapat menunjukkan kelakian mereka. Pada badan manusia, terutama lelaki, bulu akan tumbuh di beberapa bahagian, iaitu bahagian muka, dada, ketiak, kemaluan dan kaki. Terdapat beberapa persoalan yang timbul dalam kalangan kita sendiri. Antaranya hukum mencukur/mencabut bulu, kesan membiarkan/mencukur bulu, dan sebagainya. Dan yang menjadi persoalan besar, bahagian mana yang patut kita cukur dan bahagian mana yang tidak boleh dicukur menurut perspektif Islam. Mari kita lihat satu persatu.

Kita mulakan dengan bulu di muka (lelaki sahaja). Bulu di muka pula terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu bulu kening, bulu mata, bulu hidung, misai dan janggut. Menurut Islam, bulu yang dilarang untuk dicukur/dicabut ialah bulu mata, janggut, dll. Manakala misai digalakkan untuk dicukur/dicabut. Bagi bulu ketiak pula, diharuskan untuk kita mencabut/mencukur. Hukumnya sama seperti mencukur/mencabut bulu kemaluan. Namun, bagi bulu dada, bulu kaki, tidak disebutkan di dalam al-Quran tentang hukum mencukur/mencabut bulu tersebut.

Sesuatu yang halal adalah apa yang Allah halalkan dalam Kitab-Nya, sedangkan yang haram adalah apa yang Allah haramkan dalam Kitab-Nya. Adapun yang tidak disebutkan merupakan sebuah kelapangan.
[Dikeluarkan at-Tirmizi - no: 1726 dan dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan at-Tirmizi]

Menurut pandangan di atas, maka adalah harus bagi kita untuk mencukur/mencabut bulu di bahagian yang tidak disebutkan di dalam al-Quran. 

Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis berkaitan bulu :
  • Mencukur bulu kemaluan 
    • Dari Ibn Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Daripada perkara fitrah ialah mencukur bulu ari-ari, memotong kuku dan menggunting misai”. (HR al-Bukhari)
  • Mencabut bulu di muka (wanita)
    • Daripada Abdullah bin Masud, daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah. (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud)
  • Memakai bulu mata palsu (wanita)
    • “Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan meminta rambutnya disambung.” (Shahih al-Bukhari, no: 5934)
    • “Allah melaknat wanita yang memasang dan dipasang rambut palsu, wanita yang mencukur bulu alis dan dicukurkan bulu alis dan wanita yang membuat tatoo dan dibuatkan tatoo” (HR. Bukhari no. 5937 dan Muslim no. 2124)
Jadi, kita sebagai umat Islam seharusnya lebih mengambil tahu mengenai perkara ini, kerana perkara ini amat sensitif. Kepada pembaca yang dikasihi, sebar-sebarkan input yang telah saya berikan kepada orang lain utuntuk diproses dan akan memberikan output yang sangat berguna untuk diri dan orang lain. 
Terima kasih.